Khamis, 12 April 2012

Program : Irama Nan Satu

Oleh  : Maznifirdaus bin Marzuki

JERANTUT 12 April 2012 – Bagi menarik minat klien dalam proses rawatan dan pemulihan di Klinik Cure&Care 1Malaysia Jerantut (CNC Jerantut), slot bagi kesenian telah diisi dengan program ‘Kompang – Irama Nan Satu’. Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada klien berkenaan asas-asas dan teknik yang betul semasa bermain peralatan tradisional ini.


Seramai 15 orang klien dan 10 orang kakitangan telah menyertai program yang dikendalikan oleh Pak Long dan beberapa orang rakan beliau dari Kelab Kompang Remaja Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR). Pada permulaan proses pembelajaran, senaman tangan dan jari-jemari  dilakukan sebelum memulakan latihan. Ini dilakukan adalah untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang tidak diingini berlaku kepada para peserta. Peserta kemudiannya didedahkan dengan teknik-teknik asas paluan seperti ‘menganak’, ‘melingkah’, ‘menyilang’ dan lain-lain teknik yang bersesuaian dengan lagu yang bakal dimainkan. Program yang berlangsung selama sejam ini diakhiri dengan paluan ‘mengarak pengantin’ dimana para peserta Berjaya mengalunkan dengan baik walaupun secara keseluruhannya tidak begitu sempurna. Pak Long selaku pengajar yang telah mengendalikan program ini menggalakkan peserta melakukan lebih banyak latihan supaya paluan yang dilakukan akan bertambah baik dan mantap.


“Program yang disertai oleh klien dan kakitangan ini sebenarnya tidak terhenti begitu sahaja dan latihan akan dilakukan secara berterusan selepas ini memandangkan CNC Jerantut bercadang akan menubuhkan pasukan kompangnya sendiri” ujar En. Mohd Ariff Hafizan selaku pengurus kompang CNC Jerantut. Dengan adanya pasukan kompang yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi, ianya bukan sahaja memberikan kemahiran kepada klien dan kakitangan malah ianya dapat dijadikan salah satu daripada sumber pendapatan di Klinik CNC Jerantut ini.

0 ulasan: